Penganalisis berkata logo GRS sangat kuat dalam konteks politik Sabah dengan lawan terkuatnya hanya Warisan pada PRU akan datang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Kestabilan politik dibawa Ketua Menteri Hajiji Noor mungkin antara faktor Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada PRU akan datang, kata penganalisis.
Syahruddin Awang Ahmad berkata, PH negeri itu menyedari naratif ‘Sabah untuk orang Sabah’ semakin dominan, diterjemahkan rakyat pada PRN lalu yang menyaksikan GRS menang kerusi terbanyak sebelum membentuk pentadbiran bersama beberapa parti lain.
Syahruddin Awang Ahmad.
“Selain itu, disebabkan kepimpinan Hajiji sebenarnya telah berjaya menonjolkan kestabilan politik bawah payung GRS.
“Dengan menyesuaikan diri bawah simbol tempatan, parti nasional seperti PH dapat menepis persepsi dalam kalangan anak watan Sabah terutama tentang sentimen campur tangan luar oleh parti nasional,” kata penganalisis dari Universiti Malaysia Sabah kepada FMT.
Utusan Borneo pada Rabu melaporkan, Pengerusi PH Sabah Mustapha Sakmud tidak menolak kemungkinan menggunakan logo GRS pada PRU akan datang, namun menekankan perkara itu belum dibincangkan secara rasmi di peringkat parti.
Menurutnya, sebarang keputusan berkaitan penggunaan logo pilihan raya perlu mengambil kira pertimbangan di peringkat nasional.
Mengulas lanjut, Syahruddin berkata kemungkinan untuk PH Sabah bertanding menggunakan logo GRS dalam pilihan raya boleh berlaku berdasarkan strategi politik dinamik.
“Keadaan semasa yang menyaksikan PH dan GRS bersama menerajui kerajaan negeri menjadikan formula perkongsian logo ini logik bagi membuktikan perpaduan sangat kukuh,” katanya.
Beliau berkata, namun ada cabaran untuk merealisasikan antaranya kompromi besar daripada akar umbi PKR atau PH.
Bagaimanapun, Arvin Tajari dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) pula berpandangan PH perlu bertanding bawah logo sendiri untuk mengukur penerimaan di Sabah, dengan mengekalkan kerjasama sedia ada.
Arvin Tajari.
“Guna logo GRS mungkin dilihat selamat untuk PH mengekalkan kerusi sedia ada,” katanya merujuk Parlimen Sepanggar, Kota Kinabalu dan Sandakan. Pada PRU15, PH turut menang Penampang serta Tuaran namun Upko keluar pakatan itu menjelang PRN Sabah.
“Logo GRS sangat kuat dalam konteks politik Sabah, lawan terkuatnya hanya Warisan pada PRU akan datang.”

