Wawasan adalah ‘parti berwajah Malaysia’, kata Presiden Hamzah Zainudin. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) melihat ia sebagai ‘jambatan’ yang menghubungkan Perikatan Nasional (PN) dengan lebih ramai rakyat.
Presiden Hamzah Zainudin berkata keputusan PN menerima permohonan Wawasan menyertainya menunjukkan keyakinan gabungan itu terhadap partinya, dan beliau percaya Wawasan akan memberi nilai tambah kepada kekuatan sediada ada PN.
“Kami hadir sebagai jambatan yang menghubungkan lebih ramai rakyat, memperluaskan sokongan serta mengukuhkan lagi kedudukan PN sebagai sebuah gabungan yang inklusif, stabil dan sedia mentadbir,” menurut kenyataan.
Hamzah sebelum ini mengetuai gerakan ‘Reset’ selepas keahliannya dipecat Bersatu, susulan kemelut dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Seusai mesyuarat tergempar majlis tertinggi semalam, PN mengumumkan ia meluluskan permohonan Wawasan untuk menjadi parti anggota.
Wawasan merupakan penjenamaan semula Parti Cinta Malaysia (PCM), selepas ia diambil alih oleh Hamzah dan penyokong beliau. PCM ditubuhkan oleh bekas ahli Gerakan, Huan Cheng Guan, dan bekas ahli PKR, Gabriel Adit Demong, pada 2009.
Hamzah berkata Wawasan adalah ‘parti berwajah Malaysia’.
“Sebagai parti berwajah Malaysia, Wawasan membawa aspirasi rakyat daripada pelbagai latar belakang dan percaya masa depan negara hanya dapat dibina melalui kerjasama, kesederhanaan serta komitmen terhadap kepentingan nasional,” katanya.
Komponen lain dalam PN adalah PAS, Bersatu, Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia. Selain Wawasan, PN turut menerima permohonan Parti Pejuang Tanah Air.

