Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini, kata Ketua Polis Kuala Terengganu Azli Mohd Noor. Gambar (Facebook)
PETALING JAYA: Seorang lelaki ditahan polis selepas disyaki melakukan amang seksual fizikal dan merogol adik kandungnya sendiri sejak mangsa berusia 10 tahun.
Ketua Polis Kuala Terengganu, Azli Mohd Noor, berkata suspek berusia 24 tahun ditahan susulan laporan polis yang dibuat oleh mangsa pada 12.51 tengah malam tadi.
Beliau berkata kejadian terbaru didakwa berlaku kira-kira 9 malam kelmarin apabila mangsa yang kini berusia 16 tahun dicabul suspek ketika berada di rumah.
“Mangsa mendedahkan dia telah menjadi mangsa rogol suspek sejak enam tahun lalu.
“Permohonan reman terhadap suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini,” katanya, menurut Sinar Harian.
Azli berkata satu kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lapan hingga 30 tahun serta tidak kurang 10 sebatan.
Menurutnya, kes terbabit turut disiasat di bawah Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat,” katanya.
“Polis kini sedang melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya,” katanya.
Dalam perkembangan sama, beliau mendedahkan sebanyak 14 kertas siasatan melibatkan kes seksual telah dibuka oleh polis Kuala Terengganu bagi tempoh 1 Jun sehingga 22 Jun 2026.

