Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata kes disiasat dibawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
PETALING JAYA: Seramai 58 individu ditahan dalam serbuan Op Soga XI di seluruh negara kerana disyaki terlibat pertaruhan haram dan perjudian dalam talian sempena kejohanan Piala Dunia Fifa 2026.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, M Kumar berkata operasi yang bermula 11 Jun dibuat dengan kerjasama strategik pelbagai agensi terutama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Sepanjang tempoh operasi, sebanyak 52 serbuan dijalankan di seluruh negara dengan seramai 58 suspek terdiri daripada 54 lelaki dan empat wanita berjaya ditahan.
“Turut dirampas wang tunai berjumlah RM25,684.65 dan nilai pertaruhan dianggarkan berjumlah RM488,582.47,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, dalam operasi itu sebanyak 42 laman sesawang, platform, aplikasi dan media sosial dikesan digunakan bagi menjalankan aktiviti pertaruhan bola sepak dan promosi perjudian.
“Justeru, tindakan menyekat laman sesawang dan menurunkan kandungan berkaitan akan dilaksanakan dengan kerjasama SKMM bagi mengekang penyebaran aktiviti perjudian dalam talian,” katanya.
Kumar berkata, semua suspek dibawa ke ibu pejabat polis daerah berkaitan untuk proses dokumentasi dan siasatan lanjut.
Katanya, kes itu disiasat dibawah Seksyen 6(1) dan Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan 1953 serta Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Perjudian Terbuka 1953.
“Siasatan turut dijalankan di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA),” katanya.


