Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata, pihaknya terima laporan berhubung kejadian kira-kira 12.30 tengah hari semalam daripada pemilik premis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Polis sedang memburu tiga individu dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah premis menjual beg tangan mewah di sebuah kompleks beli-belah di Cyberjaya, melibatkan kehilangan 25 beg tangan bernilai RM90,000.
Ketua Polis Sepang Norhizam Bahaman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira 12.30 tengah hari semalam daripada seorang wanita yang juga pemilik premis.
“Hasil semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) mendapati tiga suspek bertopeng dan berpakaian serba hitam memasuki premis sebelum menggeledah serta mengambil beg tangan yang dipamerkan di rak,” katanya dalam kenyataan, lapor Bernama.
Menurut Norhizam, berdasarkan siasatan awal di lokasi kejadian, suspek dipercayai mengumpil tingkap tandas untuk menceroboh ke dalam premis.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan kejadian itu turut tular menerusi media sosial.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat Mohd Faizal Rashid @ Jaafar melalui talian 013-2222652 bagi membantu siasatan.


