Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Mustapha Sakmud berkata kerajaan dalam proses menaik taraf pangkalan data utama pelaksanaan projek persekutuan kepada sistem MyProject 2.0 yang akan dilengkapi teknologi AI.
KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mempertimbangkan implikasi keselamatan ketika meneliti cadangan memaparkan status dan laporan projek pembangunan dalam talian kepada umum kerana membabitkan data berperingkat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak), Mustapha Sakmud, berkata walaupun kerajaan sentiasa bersikap telus dan akauntabiliti dalam memantau prestasi projek, perincian data secara terbuka dikhuatiri boleh menimbulkan isu lain.
“Kita akan ambil pertimbangan sewajarnya…dan kita lihat dari segi (kesesuaian) sebab ini juga melibatkan data berperingkat.
“Mungkin ada peringkat yang kita boleh dedahkan dan ada data terperinci yang kita akan pertimbangkan sama ada sesuai atau tidak (didedahkan),” katanya di Dewan Rakyat.
Beliau menjawab soalan tambahan Willie Mongin (GPS-Puncak Borneo) yang meminta kerajaan memanfaatkan sepenuhnya platform digital bagi membolehkan rakyat dan wakil rakyat menyemak status serta punca kelewatan sesuatu projek tanpa perlu menunggu Parlimen bersidang.
Mustapha berkata, semua wakil rakyat masih boleh mendapatkan maklumat terperinci projek persekutuan dengan mengemukakan permintaan kepada Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) atau melalui pertanyaan di Parlimen.
Menurutnya, pemantauan telus tetap dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk di negeri pimpinan blok pembangkang.
Beliau turut mendedahkan pangkalan data utama kerajaan, sistem MyProject, sedang dinaik taraf kepada versi MyProject 2.0.
“Yang ini (MyProject 2.0) dalam pembangunan dan akan mengambil kira teknologi sedia ada, terutama melibatkan teknologi kecerdasan buatan untuk memantau projek sakit di seluruh negara.”


