Mulai 1 Ogos pas perjalanan My50 akan termasuk untuk LRT 3 laluan Shah Alam. (Gambar Bernama)
KLANG: Pas perjalanan tanpa had My50 akan diperluaskan ke transit aliran ringan (LRT) 3 laluan Shah Alam (LRT3) bermula 1 Ogos selepas tempoh perkhidmatan percuma berakhir.
Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook, berkata langkah itu membolehkan pengguna pas My50 menikmati perjalanan di laluan baharu tanpa sebarang bayaran tambahan.
“Selepas tempoh tambang percuma ini menjelang 1 Ogos, My50 juga akan termasuk untuk laluan Shah Alam.
“Maksudnya kalau dia dah beli My50, semua laluan dia boleh pakai. Jadi tambahan satu lagi laluan yang boleh digunakan melalui My50,” katanya dalam sidang media selepas majlis peluncuran LRT 3 laluan Shah Alam.
Beliau berkata, kerajaan berharap inisiatif itu dapat menggalakkan lebih ramai pekerja dan pelajar menggunakan pengangkutan awam, khususnya di sepanjang jajaran laluan berkenaan.
Sementara itu, Loke berkata LRT 3 laluan Shah Alam sepanjang 37.8km yang mempunyai 20 stesen akan mula beroperasi kepada orang ramai pada 6 pagi esok.
“Kita menganggarkan ia boleh mencecah 60,000 penumpang sehari pada tahun pertama dan mengharapkan jumlah itu akan terus meningkat,” katanya.
Katanya, kementerian akan memantau jumlah penumpang setiap minggu bagi menilai keperluan menambah tren atau memendekkan kekerapan perkhidmatan pada masa depan.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan perkhidmatan LRT3 laluan Shah Alam dan bas perantara di sepanjang jajaran itu diberikan percuma mulai esok Jun hingga 31 Julai bagi menggalakkan orang ramai menggunakan perkhidmatan baharu itu.

