Poster di Facebook Reset yang mengumumkan Presiden PAS Hadi Awang akan merasmikan konvensyen di Tanah Merah, Kelantan. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA: Presiden PAS Hadi Awang akan merasmikan Konvensyen Reset di Tanah Merah, Kelantan, esok.
Pada konvensyen itu, bekas timbalan presiden Bersatu Hamzah Zainudin dan penyokongnya dijangka mengumumkan hala tuju politik gerakan tersebut.
Hamzah yang pernah menjadi ketua pembangkang melancarkan gerakan Reset pada 14 Feb lalu, sehari selepas dipecat Bersatu susulan pertikaian kepimpinan dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Sejak itu, Ahli Parlimen Larut tersebut dikaitkan dengan rancangan untuk mengambil alih atau menubuhkan parti baharu bersama beberapa pemimpin Bersatu yang turut dipecat termasuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Wan Saiful memberitahu Malaysiakini beliau menganggarkan kehadiran sekitar 10,000 orang di konvensyen itu yang berlangsung di Tapak Ekspo Kota Harmoni.
Isnin lalu, Hadi mengumumkan PAS menghentikan kerjasama politik dengan Bersatu bagi meneroka suatu bentuk persefahaman politik dan kerjasama pilihan raya baharu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.


