Nur Nadia Ahmad Johari didakwa membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu disertakan infografik palsu mengenai kenaikan harga minyak menerusi aplikasi Threads pada 31 Mac lalu.
PETALING JAYA: Mahkamah Sesyen Sepang mendenda seorang suri rumah RM4,000 kerana membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi media sosial berkaitan kenaikan harga minyak.
Nur Nadia Ahmad Johari, 34, mengaku bersalah di depan Hakim Ahmad Fuad Othman.
Dia didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu disertakan infografik palsu mengenai kenaikan harga minyak, menerusi aplikasi Threads yang dilihat pada 12.01 tengah hari di Menara SKMM 1, Cyberjaya pada 31 Mac lalu.
Pertuduhan dikemukakan Pegawai Pendakwa, Nazrul Nizam Mohd Zamri di bawah Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 233(2) akta sama.
Fuad dalam penghakimannya berkata, pindaan terhadap Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 menunjukkan kesungguhan kerajaan membendung penyebaran kandungan palsu dan jelek yang boleh menimbulkan keresahan masyarakat.
Jelasnya, penyebaran maklumat palsu boleh membawa implikasi lebih besar apabila membabitkan isu sensitif seperti agama, kaum, institusi diraja serta perkara yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam.
“Hari ini mungkin seseorang beranggapan satu hantaran itu perkara kecil, tetapi apabila dikongsi ratusan atau ribuan orang, kesannya menjadi jauh lebih besar kepada masyarakat,” katanya menurut Berita Harian sambil mengingatkan orang ramai supaya menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum berkongsi di media sosial.

