Pakar berkata sistem telematik hanya boleh berfungsi jika disokong ekosistem penguatkuasaan berkesan, selain pengusaha dibantu dengan kos pelaksanaannya. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA: Sistem telematik mungkin sekadar menjadi satu lagi peranti elektronik untuk memantau kenderaan perdagangan jika tidak disokong penguatkuasaan berkesan dan pangkalan data pemandu yang lengkap, kata seorang pakar keselamatan jalan raya.
Aktivis keselamatan jalan raya Shahrim Tamrin berkata bagi memastikan sistem itu benar-benar mencapai matlamatnya, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) perlu melengkapkan pangkalan datanya terlebih dahulu sebelum maklumat itu dikongsi dengan polis dan Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (Miros).
Menurutnya, berdasarkan maklumat daripada pangkalan data itu, pengusaha yang mematuhi peraturan dan konsisten mencatat skor keselamatan tinggi boleh diberi laluan lebih cepat ketika melalui sekatan jalan raya atau pusat pemeriksaan.
“Sebaliknya, mereka yang dikesan kerap melakukan kesalahan boleh ditahan untuk audit segera yang lebih bersasar.
“Apabila semua elemen ini berfungsi bersama, telematik boleh menjadi alat pencegahan yang sangat berkesan dalam sesebuah kenderaan,” katanya kepada FMT.
Sistem telematik menggunakan teknologi berasaskan kecerdasan buatan (AI), termasuk peranti dan kamera dalam kenderaan, untuk mengesan perbuatan memandu laju, pemanduan berbahaya serta tanda-tanda pemandu letih, dengan tujuan meningkatkan pematuhan dan mengurangkan kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan.
Namun, belum semua elemen yang diperlukan bagi memastikan sistem itu mencapai matlamatnya tersedia ketika ini.
Pengasas bersama MY Mobility Vision, Rahman Hussin berkata ekosistem penguatkuasaan, termasuk pangkalan data berpusat JPJ bagi pemandu kenderaan perdagangan, masih dalam pembangunan.
Justeru, katanya, pelaksanaan secara sukarela buat masa ini adalah langkah yang wajar.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook pada 29 Jun lalu berkata kerajaan akan melaksanakan pendekatan berperingkat dalam tempoh satu hingga dua tahun bagi menilai keberkesanan sistem itu sebelum memutuskan langkah seterusnya.
Rahman berkata mewajibkan pemasangan peranti itu sekarang hanya akan menyebabkan data dikumpulkan, tetapi belum ada mekanisme mencukupi untuk menilai sama ada data itu benar-benar bermakna.
Kos dan halangan pelaksanaan
Menurut Shahrim, kos juga menjadi satu lagi isu yang perlu diberi perhatian.
Loke sebelum ini berkata penyedia perkhidmatan terpilih akan menawarkan sistem itu melalui pakej langganan antara RM60 hingga RM300 bagi setiap kenderaan sebulan.
Shahrim berkata, walaupun model langganan itu memudahkan akses kepada sistem berkenaan, ia masih memberi cabaran kepada perusahaan kecil dan sederhana yang tidak mempunyai pengurus khusus untuk mengendalikan operasi kenderaan.
“Pada kadar RM60 hingga RM300, jumlah itu mungkin kedengaran kecil. Tetapi apabila didarabkan dengan 20 hingga 50 kenderaan, ia menjadi kos bulanan berulang yang boleh mencecah lima angka bagi pengusaha yang sudah pun beroperasi dengan margin keuntungan kecil,” katanya.
Bagi meringankan beban pengusaha, Shahrim mencadangkan kerajaan bekerjasama rapat dengan penyedia insurans untuk menawarkan diskaun segera terhadap premium atau pengecualian caj tambahan kepada syarikat yang secara sukarela menggunakan sistem diperakui.
“Jika pengusaha boleh menampung kos langganan bulanan RM60 hingga RM300 melalui penurunan 15% premium insurans, kuasa pasaran akan mendorong penggunaan sistem ini lebih cepat berbanding sebarang peraturan,” katanya.
Isu ketelusan
Rahman turut menyuarakan kebimbangan kerana Kementerian Pengangkutan belum menjelaskan penanda aras yang akan digunakan untuk menukar dasar telematik daripada sukarela kepada wajib.
“Pangkalan data JPJ, yang akan membolehkan Kementerian Pengangkutan mengesahkan siapa benar-benar mematuhi peraturan, hanya dijangka siap pada 2027,” katanya, sambil menambah tempoh dua tahun pelaksanaan sukarela itu perlu benar-benar dimanfaatkan.
“Tanpa penanda aras yang jelas, tempoh dua tahun itu mungkin berlalu tanpa sebarang kemajuan. Pengusaha yang patuh akan menanggung kos, manakala pihak yang lambat bertindak hanya menunggu.
“Kementerian perlu menyatakan dengan jelas apakah penanda aras yang akan menjadikan sistem ini wajib. Jika tidak, pelaksanaan ‘sukarela’ itu akan secara senyap-senyap menjadi sesuatu yang tiada penghujung,” katanya.


