Pemimpin Bersama, Rafizi Ramli, berkata calon parti itu bebas untuk bercakap isu memberi kesan kepada komuniti masing-masing, tetapi perlu mengelak daripada kritikan menjadi konfrontasi.
JOHOR BAHRU: Pemimpin Parti Bersama Malaysia, Rafizi Ramli, meminta calon parti itu lebih berdisiplin ketika berucap di khalayak ramai susulan kenyataan calon Perling, Boo Wei Han mengenai penternakan babi yang mencetuskan kontroversi.
Rafizi berkata beliau telah memberikan garis panduan terperinci kepada calon Bersama dan penceramah, sambil menegaskan mereka perlu mengemukakan isu berserta konteks yang lengkap.
“Pagi ini saya menulis panduan yang panjang kepada calon dan penceramah mengenai cara berucap, perkara yang boleh dan tidak boleh dilakukan, serta mesej yang ingin kita sampaikan,” katanya pada satu ceramah malam tadi.
Beliau turut mengingatkan calon supaya tidak mengulangi kesilapan sama, sambil berseloroh bahawa beliau ‘sudah penat terpaksa menjawab’ kesilapan mereka.
Dua hari lalu, Boo mempersoalkan sekatan terhadap penternakan babi ketika berucap dalam satu ceramah di Taman Pelangi dengan berhujah bahawa industri itu telah wujud sejak berdekad lamanya tanpa menimbulkan masalah kesihatan.
Calon Bersama itu turut berkata banyak keluarga bergantung kepada penternakan babi sebagai sumber pendapatan dan mempersoalkan mengapa isu tersebut dijadikan polemik politik.
Rafizi berkata beliau berpuas hati dengan ucapan yang disampaikan calon Bersama pada malam tadi kerana mereka menunjukkan keupayaan menyesuaikan diri dengan cepat walaupun hanya diberi sedikit panduan.
“Mereka ialah individu berkelayakan dan rakyat biasa yang mempunyai pengalaman hidup masing-masing. Biasanya apabila diberi peluang, mereka belajar jauh lebih pantas berbanding mereka yang sudah berpuluh tahun menjadi ahli politik,” katanya.
Beliau juga berkata kini beliau kurang bimbang terhadap penampilan calon Bersama pada ceramah akan datang.
Ketika ditemui pemberita, Rafizi berkata calon bebas membangkitkan isu yang memberi kesan kepada komuniti masing-masing, namun mereka perlu mengelakkan kritikan daripada bertukar menjadi konfrontasi.
Katanya, sebagai panduan umum, calon boleh mengkritik tetapi ia seharusnya hanya merangkumi kira-kira 10% daripada keseluruhan ucapan dan disampaikan tanpa bersifat konfrontasi.
Ceramah itu dihadiri kira-kira 100 orang, termasuk calon-calon Bersama bagi kerusi Larkin, Tiram, Johor Jaya, Puteri Wangsa dan Skudai.

