Mulai 1 Julai kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membeli bahan api itu pada harga RM2.10 seliter.
PETALING JAYA: Inisiatif BUDI Diesel akan menguji sama ada kerajaan Anwar Ibrahim mampu menanggung kos politik pembaharuan yang kurang popular, sambil meyakinkan rakyat langkah itu perlu bagi mengelakkan tekanan subsidi menjadi lebih buruk, kata penganalisis.
Pengarah Global Asia Consulting, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri, berkata pemimpin tidak boleh hanya memilih dasar mudah diterima pengundi jika masalah sedia ada memerlukan pembetulan.
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.
“Dalam politik, keputusan paling bernilai bukan semestinya yang paling popular. Kadangkala, kepimpinan sebenar terserlah apabila sebuah kerajaan berani membuat pembaharuan sebelum masalah menjadi lebih besar,” katanya kepada FMT.
Mulai 1 Julai, kira-kira 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak boleh membeli bahan api itu pada harga RM2.10 seliter menggunakan MyKad, dengan kuota asas sehingga 200 liter sebulan.
Zaharuddin berkata, isu tersebut melangkaui jumlah 200 liter kerana ia turut menentukan sama ada kerajaan mampu mengubah cara rakyat melihat subsidi.
Kos subsidi diesel meningkat daripada kira-kira RM1.4 bilion pada 2019 kepada RM14.3 bilion pada 2023, dengan ketirisan dan penggunaan oleh pihak yang bukan dalam kumpulan sasar antara masalah yang mahu ditangani.
“Pendekatan baharu ini bukan bermaksud kerajaan meninggalkan rakyat. Sebaliknya, ia mengubah falsafah subsidi daripada siapa sahaja boleh menikmati kepada mereka yang benar-benar memerlukan mesti dilindungi,” kata Zaharuddin.
Beliau berkata, kerajaan sedang membuat pembetulan ketika negara sudah berdepan tekanan fiskal, namun masih mempunyai ruang untuk mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk.
Katanya, pengalaman Indonesia yang melaraskan harga bahan api selepas kos subsidi meningkat pada 2022, serta Sri Lanka yang mengalami gangguan bekalan ketika krisis kewangan, boleh menjadi pengajaran politik tentant akibat menangguhkan keputusan sukar.
“Malaysia memilih jalan pembaharuan secara terkawal berbanding menunggu sehingga krisis memaksa tindakan lebih drastik,” katanya.
Namun, Zaharuddin berkata nilai politik dasar itu akhirnya akan ditentukan oleh pengalaman rakyat selepas pelaksanaannya.
Jika pengguna layak sukar menggunakan MyKad, proses permohonan tambahan rumit atau golongan yang bergantung pada kenderaan diesel untuk mencari rezeki tercicir, pembangkang boleh menggambarkan reformasi itu sebagai pemindahan beban kepada rakyat.
Sebaliknya, pelaksanaan yang lancar dan perlindungan jelas kepada kumpulan sasar boleh membantu kerajaan mempertahankan hujah bahawa subsidi bersasar lebih adil daripada subsidi pukal.
Kerajaan juga perlu menunjukkan ke mana penjimatan disalurkan, termasuk sama ada ia diterjemahkan kepada kesihatan, pendidikan, infrastruktur dan bantuan sosial.
“Kerajaan bukan hanya perlu mencari populariti, tetapi memastikan kewangan negara cukup kukuh untuk membiayai perkhidmatan dan bantuan diperlukan rakyat,” kata Zaharuddin.
Menurutnya, kuota diesel menjadi ujian terhadap keupayaan Putrajaya menjelaskan dasar sukar dan mengekalkan keyakinan awam ketika kesannya dirasai secara langsung.
“Ia adalah ujian sama ada Malaysia mahu terus bergantung kepada subsidi pukal yang mahal atau bergerak ke arah sistem lebih pintar dan bertanggungjawab.”

