Pemangku Ketua Polis Melaka Tengah Halim Abas berkata suspek ditahan di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil kira-kira 3.30 petang Khamis lalu.
PETALING JAYA: Seorang kelindan lori ditahan selepas menyamun beberapa kedai serbaneka 24 jam di Melaka Tengah untuk mendapatkan wang akibat dibelenggu hutang, termasuk along.
Pemangku Ketua Polis Melaka Tengah, Halim Abas, berkata suspek 27 tahun itu ditahan di Solok Bukit Bayan, Bukit Katil kira-kira 3.30 petang kelmarin.
Menurutnya, enam kes samun kedai serbaneka 24 jam di sekitar daerah itu membabitkan kerugian kira-kira RM1,500 selesai.
“Suspek berpura-pura menjadi pelanggan sebelum mengacukan pisau kepada pekerja dan memaksa mereka menyerahkan wang tunai, sebelum melarikan diri menggunakan motosikal yang diletakkan berhampiran premis,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, suspek yang tiada rekod jenayah lampau dan negatif dadah, mengaku menyamun kerana berhutang dengan along serta individu lain.
Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana melakukan samun dan samun menggunakan senjata, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun serta boleh didenda atau disebat, jika sabit kesalahan.

